Tuesday, 25 October 2011

MENGHANGATKAN PROSES PENGIMARAHAN MASJID 3

PENGURUSAN MASJID

BANGUNAN masjid yang besar, cantik tersergam; ditambah pula dengan kutipan wang yang banyak; masyarakat setempat yang pelbagai ragam dan latar belakang, pelbagai fahaman dan tahap ilmu berbeza; ahli jawatankuasa (AJK) dan kakitangan masjid yang pelbagai kebolehan; kalau tidak diintegrasikan kesemuanya itu, pengurusan masjid boleh menjadi kucar kacir.

Sebagai rumah Allah SWT, apa yang kita lakukan untuk masjid, mesti dengan jasad dan roh sekali. Jika tidak, masjid tidak dapat memainkan peranannya dengan berkesan.

Sebagai tempat suci, tempat mengeluar manusia soleh, tempat menjana faedah dan manfaat kepada masyarakat; akan menjadi tempat membawa rebah. Dan inilah kenyataan di banyak masjid dan surau hari ini.

Sesebuah masjid, kalau tidak diurus dan ditadbir dengan betul akan menghadapi zaman kelam, peranannya menjadi lemah dan fungsinya tenggelam.

Bagi mereka yang di beri tanggungjawab untuk mengurus sesebuah masjid, hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kerana Allah SWT.

MEMAHAMI PERANAN MASJID.

TANPA kefahaman yang jelas tentang peranan masjid, bagaimana tugas dan tanggungjawab untuk menghidupkan dan membangunkan masjid itu dapat di lakukan?

Kalau di atas sudah kabur, orang-orang di bawah, AJK atau pihak-pihak lain yang terlibat dengan masjid akan meraba-raba dalam tugas dan peranan mereka.

Kalau ada rancangan atau program, akan di laksanakan tanpa tujuan yang jelas, akan di laksanakan untuk program pada hari itu sahaja, akan dibuat dengan seadanya sahaja.

Janganlah ghairah dalam merangka pelbagai program untuk memenuhi kalendar aktiviti tahunan masjid; tanpa mengambil kira kehendak ahli kariah.
Kerana itu apabila di laksanakan, program itu tidak mendapat sambutan dan kalau ada pun, kesannya tidak panjang.

Kehendak dan citarasa ahli kariah mesti di dahulukan. Buat kaji selidik untuk mendapat bayangan tentang keperluan mereka, apa yang sesuai dan apa yang boleh membantu mereka. Yang penting, program terlaksana dan kesannya terbukti.

Pihak pengurusan masjid harus mengambil kira keberkesanan dan nilai tambahnya. Mereka perlu ada tujuan dan objektifnya!

Buatlah perancangan rapi, gunakan kaedah dan pendekatan terkini agar sesuatu program itu mendapat sambutan dan mencapai matlamatnya, kaedah yang boleh memikat hati pengunjung sambil berdakwah.       


Para AJK perlu ikhlas dan sabar setiap ketika. Ini kerana segala perlakuan AJK di perhati dan di nilai; bukan sahaja oleh jemaah masjid atau ahli kariah tetapi juga oleh Allah SWT.


No comments:

Post a Comment