Tuesday, 25 October 2011

MENGHANGATKAN PROSES PENGIMARAHAN MASJID 4

Tuan/Puan yang diberkati,


MASJID SEBAGAI SATU ORGANISASI


MASJID merupakan sebuah institusi formal, institusi pendidikan dengan peranannya sebagai pusat pembangunan insan taqwa.

Kerana itu, masjid perlu diurus sebagai satu organisai, dengan cara yang paling mulia dan penuh hikmah, supaya matlamat melahirkan insan yang dimaksudkan tercapai.

Apatah lagi, dengan kecanggihan masjid dan orang-orang sekarang ini, maka keperluan kepada corak pengurusan yang dinamik dan bertenaga, mesti diusahakan. 


Masjid perlu diurus  dengan cara yang  profesional dan penuh amanah serta tanggungjawab.   
Maka itu, adalah penting jawatankuasa masjid terdiri dari ahli-ahli kariah yang berkebolehan dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas dan peranannya dengan cekap dan berkesan.

Tidak salah sekiranya pengurusan sesebuah masjid di tonjolkan sebagai sebuah organisasi yang mempunyai wawasan dan objektifnya yang jelas; dan pelaksanaannya pula diuruskan dengan penuh komitmen dan kejujuran.

Perancangan dan perlaksanaan aktiviti terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti pengimarahan, perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa atau Lembaga Pengurusan Masjid yang ada.  

Pemantauan aktiviti, jangan dilupa. Begitu juga, penilaian mesti dibuat untuk mengukur keberkesanan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.

Memperkenalkan kaedah menilai prestasi seperti Key Performance Index (KPI) secara Islam misalnya, adalah antara kaedah yang boleh dipakai bagi mengukur prestasi sesebuah organisasi termasuk masjid atau surau.

Kemudian, satu laporan khusus mesti diedarkan kepada AJK masjid dan ahli kariahnya untuk makluman, untuk dikomen atau untuk diambil tindakan.

Ketelusan begitu penting dalam pentadbiran hal-ehwal masjid kerana ia secara langsung, melambangkan kemurnian hati budi AJKnya.

a. Lembaga Pengurusan Masjid

Sebagai sebuah organisasi formal, maka tidak dapat lari dari pembentukan sebuah Lembaga Pengurusan. 
Mereka terdiri dari Ketua Lembaga, disebut juga sebagai Nazir atau Pengerusi; Timbalan Ketua; Setiausaha; Ahli-Ahli yang lain yang akan bertanggungjawab mengikut bidang tertentu seperti diputuskan oleh pihak pengurusan seperti Kewangan, Pendidikan, Dakwah, Selenggara dan lain-lain lagi yang difikirkan sesuai.

Dengan adanya jawatankuasa atau lembaga itu, maka cara mengurus pun mesti mengikut cara berlembaga, cara berjawatankuasa. Elak mengurus mengikut hati.

Apa juga perancangan, pelaksanaan atau keputusan mengenai sesuatu cadangan hendaklah diputuskan oleh jawatankuasa. Berbincang dan bermesyuarat dulu sebelum membuat sesuatu keputusan.
Ahli-ahli yang kurang setuju dengan keputusan jawatankuasa, kenalah akur dengan keputusan yang di buat dengan hati terbuka dan ikhlas.

Sekiranya ada yang tidak setuju dan tidak mahu bertolak ansur, maka berhati-hati dan bersabar untuk mengelak gejala tidak sihat yang boleh menghantui perjalanan sesebuah masjid.

b. AJK Masjid

AJK menjadi tulang belakang sesebuah organisasi dan berperanan penting dalam menentukan kuat lemahnya sesebuah organisasi itu.

Masjid adalah organisasi istimewa, maka selain dari mempunyai semangat dan komitmen untuk berkhidmat, AJK itu mesti bekerja kuat dengan harapan apa juga kegiatan yang di lakukan, mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Syarat utama menjadi AJK, seseorang itu mestilah mempunyai minat dan niat suci untuk menyumbang kepada pembangunan ummah.
Mereka perlu mempunyai akhlak baik dan sanggup berkerja tanpa banyak berkira, dan semuanya dibuat dengan hati yang terbuka.

Dengan akhlak sedemikian akan menjadikan suasana pengurusan sentiasa dalam keadaan telus, mesra dan menyeronokkan. Kesemua itu akan mempengaruhi persekitaran dan diri seseorang, mempertingkatkan nilai hidup masyarakat dan boleh meletakkan para sukarelawan masjid itu, di tahap yang dihormati dan dikagumi.

c. Pemilihan AJK

Tanggungjawab mereka yang ingin berkhidmat di masjid sangat besar, berat tetapi mulia.

Mereka yang ingin berkhidmat atau dipilih untuk berkhidmat, mesti mempunyai ketinggian pemikiran, berwawasan dan berakhlak. 
Ini kerana pada peringkat awal, mereka bukan sahaja berperanan menjadi contoh kepada rakan sekerja, jemaah masjid,  tetapi juga kepada ahli-ahli kariah; dengan contoh-contoh baik akan dapat menarik masyarakat umumnya ke masjid, akan membuatkan orang ramai  menghormati orang-orang masjid, akan memuliakan institusi masjid.

Dari situ, peranan masjid boleh dipertingkatkan dan diperkembangkan lagi.
Salah satu punca kelembapan perjalanan masjid hari ini adalah kerana ada di antara AJK yang tidak memenuhi ciri-ciri yang diperlukan.

Mereka berada dalam AJK kerana diperturunkan oleh datuk neneknya secara tradisi; ada yang dilantik oleh Pengerusi atau Nazir, ada juga kerana sebab-sebab peribadi ingin terlibat dengan masjid, apatah lagi setelah diendorsekan oleh pihak-pihak tertentu. Senario begini mesti di ubah.

Pengurusan masjid, dari peringkat Pengerusi hinggalah kepada AJK yang lain, mesti dipilih dan direstui oleh ahli-ahli kariah.

Sesebuah organisasi peribadatan, dalam kes seperti masjid khususnya, perlu mempunyai “roh”, satu keperluan penting yang akan menentukan tahap pancaran cahaya  - nur -  dari masjid itu.

Keperluan ini membezakan entiti masjid dengan entiti organisasi bukan masjid. Justeru, kelayakan orang-orang yang ingin berkhidmat dengan masjid atau untuk menjadi AJK masjid juga perlu berbeza.

Dalam pemilihan AJK masjid contohnya, boleh lakukan sedikit kelainan dari apa yang diamalkan oleh badan-badan atau organisasi bukan masjid seperti PIBG, persatuan penduduk atau NGO yang lain.

Seseorang yang ingin berkhidmat dengan masjid mesti mempunyai kaitan kuat untuk berkhidmat dengan rasa dan keikhlasan hati kepada Allah SWT semata-mata.

Oleh itu, untuk mengisi jawatan dalam AJK masjid, sebaik-baiknya dibuat dengan memberi peluang kepada ahli-ahli kariah menawarkan diri untuk berkhidmat.

Untuk memegang jawatan dalam barisan jawatankuasa, kalau bilangan orang yang menawarkan diri melebihi bilangan jawatan yang diperlukan, maka perlu ada yang mengalah atau tarik diri; atau berunding; atau akhirnya barulah ke tahap mengundi.

Harus diingat, mereka yang tidak termasuk dalam barisan AJK, mereka tetap bersama memikul tugas dan tanggungjawab memakmurkan masjid itu.

Amalan yang dibuat sekarang memang menjejaskan perjalanan jawatankuasa masjid kerana dengan satu undi lebih, seseorang itu berjaya dalam jawatan sedangkan yang kalah mungkin lebih berminat dan berkemampuan untuk bersama AJK.

Islam menggalakkan orang yang ada kemampuan, kebolehan dan kesanggupan, menawarkan diri untuk jadi pemimpin.

Cadangan untuk mengisi jawatan yang diperlukan dalam jawatankuasa boleh diwar-warkan kepada ahli kariah agar mereka boleh menawarkan diri untuk berkhidmat.

Mereka yang berminat boleh menyatakan hasrat dan minatnya itu untuk membolehkan tindakan selanjutnya melantik dan mengesahkan barisan AJK itu diambil.
       
d.Tugas dan tanggungjawab AJK

Pada umumnya, tugas dan tanggungjwab AJK adalah untuk merancang, mengatur dan melaksana aktiviti mengimarahkan masjid, menjana pembangunan insan bertaqwa, seterusnya kepada aktiviti islah dan dakwah.

Setiap AJK dianggap sebagai pengurus dan bertanggungjawab ke atas tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan melaksanakannya dengan baik dan sempurna.

Sebagai pengurus, AJK itu perlu jelas dengan tugas dan tanggungjawabnya dan mampu menggabungkan segala sumber yang ada, supaya apa yang dirancang, dapat dilaksanakan dengan berkesan.


Tuan/Puan yang dihormati,

BERJEMAAH DALAM SEMUA ASPEK

BERKHIDMAT untuk masjid bukan setakat menjalankan tugas atau aktiviti yang nampak sahaja, tapi terpenting disertai dengan rohnya sekali dan berniat ikhlas kerana Allah SWT.

Peranan AJK sangat luas dan berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti pengimarahan masjid yakni aktiviti-aktiviti yang boleh menjurus kepada pembentukan insan berakhlak, beriman, bersemangat jihad dan bertanggungjawab.

Peranan yang secara langsung akan meletakkan masjid sebagai institusi mulia, sesuai dengan namanya sebagai “Rumah Allah”.

Semua tugasan tidak sepatutnya dilaksanakan secara bersendirian; tapi mesti dilakukan secara berjemaah, secara kerjasama dengan semangat persaudaraan.

Hubungan rapat di kalangan AJK dan hubungan mesra dengan ahli kariah mesti wujud dan dipelihara. Dengan itu, kerjasama mudah diperolehi.

Melalui persefahaman yang terjalin, segala aktiviti mudah di laksanakan dan kesannya, insyallah sangat hebat.

Keberkesanan menjadi  pengukur kejayaan atau kegagalan sesuatu aktiviti.
Kalau ramai yang hadir tetapi kehadiran mereka kerana diarah, diperintah, disuruh atau kehadiran tanpa arah dan tujuan; maka jelaslah program atau aktiviti itu dikira membazir, buang masa, buang wang, buang tenaga.

Yang penting, melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan, bilangan mereka yang mengamalkan cara hidup Islam, bilangan orang-orang soleh dan berakhlak, akan bertambah dari masa ke semasa.

No comments:

Post a Comment