Tuesday, 1 November 2011

MENGHANGATKAN PROSES PENGIMARAHAN MASJID 7

GERAKAN MEMPELAJARI AL QURAN: Baca, Faham, Amal dan Ajar


TAHAP dan kedudukan al-Quran tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Al-Quran adalah mukjizat Allah SWT kepada Rasullulah SAW, untuk panduan hidup umat Islam seluruhnya.
Segala yang termaktub di dalamnya telah diterjemahkan oleh Rasulullah SAW melalui sunnahnya, supaya senang digunapakai dan diamalkan oleh umatnya dalam kehidupan.


Rasulullah SAW bersabda: “Umatku akan selamat selagi al-Quran dan sunnah ku dipatuhi.”


Al-Quran telah berjaya memberi cahaya kepada manusia zaman jahiliah, memberi mereka sinaran kepada hidup cemerlang dan gemilang sehingga hampir seribu tahun selepas itu.
Gerakan mempelajari al-Quran perlu digembelingkan secara serius, dihidupkan dan diaktifkan sesuai dengan keadaan dan kecanggihan semasa.


Gerakan melahirkan generasi berilmu, generasi al-Quran harus diperhebatkan dan tempat bermula tidak lain melainkan di masjid, tempat suci, rumah Allah SWT.
Di masjidlah tempat yang paling baik untuk mempelajari, membaca, menghayati dan memuliakan kitabNya itu.

Maka itu, setiap orang Islam harus digalakkan supaya berkunjung ke masjid untuk beribadat dan menuntut ilmu di dunia dan akhirat kerana ini adalah tuntutan syariat.


Tuan/Puan yang dihormati,


PERBANYAKAN AKTIVITI BAGI MENAMBAT HATI MASYARAKAT


Program-program yang bermanfaat boleh dianjurkan seperti siri ceramah berkala dan kuliah agama; kelas Al-Quran dan bahasa Arab serta juga menganjurkan Forum Perdana dan pertandingan pidato, nyanyian Nasyid dan Marhaban dan sebagainya yang dapat menarik minat masyarakat untuk berkunjung ke masjid Al-Hidayah ini.


Menganjurkan mini-karnival "Jom Ke Masjid" setiap 3-6 bulan sekali untuk mengalakkan masyarakat berkunjung ke masjid Al-Hidayah juga satu usaha yang baik.


Biar aktiviti-aktiviti yang diadakan berkaitan dengan ajaran al-Quran dan Hadis Nabi SAW agar mereka yang mengambil bahagian secara langsung mempelajari sesuatu yang baru. 
Inilah cara kita untuk menyampaikan dakwah Islamiah dan mengislahkan pengunjung-pengunjung yang datang ke sini.


Pameran berkaitan dengan kegemilangan Islam di Malaysia boleh juga diadakan diperkarangan masjid Al-Hidayah dengan kerjasama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).


Disamping itu boleh didirikan gerai-gerai jualan di sekitar perkarangan masjid semasa tempoh pameran tersebut berlangsung untuk mendapatkan dana bagi menganjurkan aktiviti-aktivit seterusnya.


Usaha sebegini adalah sejajar dengan kehendak MAIS untuk mengimarahkan masjid ini.


Program-program lain yang boleh diadakan seperti program meraikan kepulangan jemaah haji, mengadakan perjumpaan berkala diantara AJK masjid dengan ahli-ahli qariahnya serta juga dengan pihak pentadbir surau-surau di sekitar kawasan Taman Melawati juga adalah satu usaha yang baik.


Selain mengeratkan ikatan silatulrahim sesama kita umat Islam, usaha ini juga akan mengalakkan mereka supaya berkunjung ke Masjid Al-Hidayah untuk beribadah dan tidak lagi berbuat demikian disurau mereka yang tidak jauh dari sini.


Berjemaah di masjid merupakan cara manusia sebagai hamba Allah SWT berhubung dengan Penciptanya, Allah SWT secara beramai.
Berjemaah di masjid juga dapat mewujudkan perkenalan, kemesraan dan merapatkan silatulrahim sesama jemaah.

Hablumminallah wa hablumminannas, dua dalam satu yang wujud di masjid, perlu diperkukuhkan lagi agar amalan berjemaah ini lebih menawan dan memberi kesan. 

Ini juga adalah satu usaha untuk menyatupadukan semua umat Islam di Taman Melawati dan kawasan sekitarnya agar bersama-sama mengimarahkan masjid seperti firman Allah SWT: 


"Hanyasanya yang layak mengimarahkan masjid adalah orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah, maka diharap mereka menjadi golongan yang mendapat petunjuk.”  
                                                                      (Surah At-Taubah:18)

Semoga usaha kita semua adalah satu jihad kepadaNya.


Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Tuesday, 25 October 2011

MENGHANGATKAN PROSES PENGIMARAHAN MASJID 6

Tuan/Puan yang diberkati,

PELABURAN TETAP

MENGURUS harta masjid dan membuat pelaburan yang bijak menggunakan harta wakaf, adalah kaedah paling baik dan berkesan.

Sumbangan amal jariah oleh orang-orang Islam kepada masjid membolehkan masjid menjana pendapatannya sendiri untuk membiayai aktiviti-aktivitinya.

Yang penting, pengurusan harta-hartanya harus dilakukan secara profesional dan menepati syariat.

Pihak masjid boleh mengadakan program-program khusus, aktiviti-aktiviti sosio ekonomi serta terlibat dalam projek-projek pertanian, perindustrian, pemasaran dan pendidikan; untuk mengisi tabung masjid.

Pendapatan yang tidak menentu boleh menjejaskan pelaksanaan aktiviti-aktiviti masjid.
Oleh itu, masjid adalah disaran mencari jalan membuat pelaburan jangka panjang untuk menjamin pendapatan tetap untuk tabungnya.

KEMAJUAN SEBUAH MASJID

SATU perkara yang perlu disedari, pengumpulan dana masjid adalah untuk digunakan ke atas perkara yang boleh memajukan sesebuah masjid itu.

Antaranya meningkatkan peranan masjid, menghebatkan penjanaan insan soleh, memperkasakan kerja dakwah dan islah serta melipatgandakan aktiviti bagi mengukuhkan ukhwah.

Dana yang di perolehi tidak harus di tinggalkan beku begitu, tetapi hendaklah digunakan secara produktif dan bijaksana.
Gunakan dana, gerakkan aktiviti bagi tujuan yang di nyatakan. Beku dana maka bekulah aktiviti.

Muslimin/Muslimat yang dihormati,

KHIDMAT KEMASYARAKATAN DI MASJID

MINAT masyarakat untuk berkunjung ke masjid boleh disemai melalui penyediaan perkhidmatan yang memberi manfaat pada mereka.

Bagaimana jika di masjid, disediakan dengan khidmat kesihatan, pemeriksaan kesihatan atau sesi klinikal yang mudah atau ringan?

Masyarakat sekarang ini, sangat prihatin kepada kesihatan diri apalagi golongan berumur atau yang ada sedikit sebanyak penyakit.
Mereka boleh ke masjid untuk menjalani pemeriksaan rutin bagi mengenalpasti tahap dan keadaan sebenar kesihatan mereka.

Sebagai contoh, pemeriksaan kesihatan secara rutin kepada masyarakat,  khidmat pergigian, kesihatan mata, saraf sangat relevan dalam kehidupan hari ini.

Khidmat sebegini sudah tentu menjadi “daya tarik” pada orang ramai untuk ke masjid, termasuk mereka yang bukan Islam.

Menyediakan kemudahan untuk membantu pesakit masakini merupakan satu cabang perkhidmatan yang sangat ditunggu-tunggu oleh mereka yang berkaitan di mana-mana kariah di negara ini.

Mesin-mesin haemodialisis untuk pesakit buah pinggang misalnya, alat-alat dan kemudahan untuk aktiviti menjaga kesihatan badan secara rutin, seperti senaman atau exercise; senamrobik atau indoor game boleh diusahakan oleh pihak masjid.

Begitu juga dengan pusat khidmat membayar bil, pusat pengaduan atau kaunseling dengan menggunakan wakil yang bertugas di situ.

Pusat khidmat sebegini membantu pengunjung dalam banyak hal; jimat wang, jimat masa. Yang penting, itu semua merupakan khidmat kebajikan untuk membantu ummah setempat.

Sekarang, semuanya secara on-line. Kalau berbayar pun, tidak jadi masalah asalkan berpatutan dan inilah perkara yang hendak ditonjolkan oleh Islam.

Khidmat jual beli boleh juga dilakukan di masjid. Berjual beli disini bukan seperti di pasar minggu atau pasar malam tetapi lebih kepada perniagaan dan urusan secara maya, on-line atau e-bisnes.


MENGHANGATKAN PROSES PENGIMARAHAN MASJID 5

PUSAT SUMBER ILMU AGAMA

BAHAGIAN ini boleh meningkatkan imej masjid. Mereka yang terlibat di bahagian ini boleh menulis, menyedia dan menyemak teks khutbah, menyiapkan surat pekeliling, pamplet dan hal-hal penerbitan serta menjalankan kerja-kerja promosi.


Buletin masjid juga harus disediakan untuk ahli-ahli qariahnya agar mereka mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh pihak masjid serta aktivit-aktiviti nya.

Pusat sumber juga harus mempunyai perpustakaan dengan pelbagai jenis buku, kitab, bahan cetak untuk menjadi tempat rujukan bagi mereka yang memerlukannya.

Jika di sediakan secara bijak, kemudahan ini boleh menjadi satu lagi daya tarik yang penting, terutama di kalangan pelajar atau sesiapa sahaja yang ingin menimba ilmu dengan mengunjungi masjid.

Pendidikan Islam bagi kanak-kanak juga harus disediakan kerana mereka wajib disemai dengan ilmu agama, ilmu fardu ain sebagai ilmu asas mennadi insan bertaqwa bila dewasa nanti.

Pendidikan awal begini dapat membantu mereka membina keyakinan diri, keyakinan terhadap wujudnya Allah SWT. Memberi kefahaman bahawa Allah SWT sentiasa bersama orang-orang yang selalu mengingatiNya.

Tidak mustahil kalau satu hari nanti, negara kita dihuni oleh ramai orang-orang Islam yang mengamalkan Islam sebagai cara hidupnya. 

Insyallah. 

Tuan/Puan yang dihormati,

MENUNTUT ILMU DI MASJID

Di samping majlis-majlis ilmu yang sudahpun diadakan di masjid, pihak masjid boleh menguruskan program pembelajaran formal atau tidak formal dengan melibatkan pihak ketiga dari luar seperti institusi-institusi pengajian atau badan-badan profesional, untuk menganjurkan program pembelajaran di masjid.

Contohnya, kelas bahasa Arab, bahasa al-Quran, yang banyak dibuat di kampus-kampus. Cuba anjurkan program itu secara on-line dengan masjid. Begitu juga kuliah-kuliah atau syarahan oleh pusat-pusat pengajian boleh dijalankan di masjid.
Apatah lagi dengan sistem pembelajaran terbuka, universiti terbuka, e-education, pengajian jarak jauh, semuanya itu boleh menggunakan masjid sebagai tempat kuliah.

Secara automatik, masjid yang dijadikan tempat kuliah, dilengkapkan dengan perpustakaan, pusat sumber dan lain-lain kemudahan, dengan suasana dan persekitaran masjid, akan mengajak golongan yang terlibat terutama para pelajar, remaja, untuk berkunjung ke situ.

Ini boleh menyemarakkan lagi pengimarahan masjid. 

Tuan/Puan yang dihormati,

KONSEP FISABILILLAH

PIHAK masjid harus mencari pendekatan yang sesuai untuk mendapatkan dana untuk tujuan pengurusan dan perjalanan aktiviti masjid; yang paling afdal ialah mendapatkannya dari masyarakat setempat itu sendiri.

Sesebuah masjid sudah semestinya mempunyai penduduk yang menjadi ahli kariah masjid itu. Bilangan dan senarai nama mereka juga sepatutnya ada dalam senarai daftar senarai ahli kariah di tempat itu.

Sebahagian besar dari mereka sesudah semestinya faham dengan kehendak masjid dan bersedia bila-bila masa, untuk memberi sumbangan kepada masjid dalam bentuk tenaga, wang ringgit dan kepakaran; untuk sama-sama melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak masjid.

Melalui konsep fisabilillah, mereka akan berkerjasama dalam menganjurkan majlis-majlis yang memberi manfaat kepada para jemaah masjid dan ahli-ahli kariah di tempat tersebut.

Mereka juga boleh membantu pihak masjid untuk mengendalikan sesuatu aktiviti khas bagi mengisi dana masjid, misalnya.

Ada satu kelompok masyarakat yang telah menerajui pembinaan sebuah masjid melalui kerjasama orang ramai dan bergerak atas niat dan semangat fisabilillah.
Dengan hasil sumbangan ikhlas yang diperolehi, pembangunan masjid itu walaupun melibatkan dana yang agak besar telah terbina hasil usaha ikhtiar dan izin Allah SWT.

Dengan perancangan yang teliti, bajet yang betul dan dana yang cukup, projek-projek yang dirancang samada projek pembangunan atau projek pengimarahan masjid, dapat di laksanakan dengan teratur, sempurna dan berkesan.

Melalui bajet yang terancang, boleh mengelak projek terbengkalai yang tentunya menjejaskan imej masjid.

Dana dan kewangan masjid mesti diuruskan dengan sebaik mungkin, dengan penuh jujur dan tanggungjawab. Penyata kewangan hendaklah telus dan diedarkan secara resmi, dan bukan sekadar menulisnya di papan kenyataan sahaja.

Tuan/Puan yang dihormati,

SETIAP PERBUATAN MESTI IKHLAS
  
Untuk mengumpul dana masjid, apa yang perlu ialah berusaha dengan hati yang ikhlas dan bersungguh-sungguh. Insyallah, sumbangan yang datang tidak putus.

Pihak masjid boleh antara lain, melaksanakan projek-projek atau program tertentu mengikut masa dan keadaan, di perkarangan masjid atau di luarnya untuk mencari sumbangan bagi mengisi dana yang diperlukan itu.

Pihak masjid juga boleh berhubung terus dengan ahli kariah yang sentiasa bersedia untuk memberi sumbangan secara tetap, secara berkala dalam bentuk wang ringgit, barangan atau perkhidmatan kepada masjid.

Jadikan usaha ini sebagai budaya beribadat, jadikan ia sebagai jihad kepada Allah SWT.

MENGHANGATKAN PROSES PENGIMARAHAN MASJID 4

Tuan/Puan yang diberkati,


MASJID SEBAGAI SATU ORGANISASI


MASJID merupakan sebuah institusi formal, institusi pendidikan dengan peranannya sebagai pusat pembangunan insan taqwa.

Kerana itu, masjid perlu diurus sebagai satu organisai, dengan cara yang paling mulia dan penuh hikmah, supaya matlamat melahirkan insan yang dimaksudkan tercapai.

Apatah lagi, dengan kecanggihan masjid dan orang-orang sekarang ini, maka keperluan kepada corak pengurusan yang dinamik dan bertenaga, mesti diusahakan. 


Masjid perlu diurus  dengan cara yang  profesional dan penuh amanah serta tanggungjawab.   
Maka itu, adalah penting jawatankuasa masjid terdiri dari ahli-ahli kariah yang berkebolehan dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas dan peranannya dengan cekap dan berkesan.

Tidak salah sekiranya pengurusan sesebuah masjid di tonjolkan sebagai sebuah organisasi yang mempunyai wawasan dan objektifnya yang jelas; dan pelaksanaannya pula diuruskan dengan penuh komitmen dan kejujuran.

Perancangan dan perlaksanaan aktiviti terutamanya yang berkaitan dengan aktiviti pengimarahan, perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa atau Lembaga Pengurusan Masjid yang ada.  

Pemantauan aktiviti, jangan dilupa. Begitu juga, penilaian mesti dibuat untuk mengukur keberkesanan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.

Memperkenalkan kaedah menilai prestasi seperti Key Performance Index (KPI) secara Islam misalnya, adalah antara kaedah yang boleh dipakai bagi mengukur prestasi sesebuah organisasi termasuk masjid atau surau.

Kemudian, satu laporan khusus mesti diedarkan kepada AJK masjid dan ahli kariahnya untuk makluman, untuk dikomen atau untuk diambil tindakan.

Ketelusan begitu penting dalam pentadbiran hal-ehwal masjid kerana ia secara langsung, melambangkan kemurnian hati budi AJKnya.

a. Lembaga Pengurusan Masjid

Sebagai sebuah organisasi formal, maka tidak dapat lari dari pembentukan sebuah Lembaga Pengurusan. 
Mereka terdiri dari Ketua Lembaga, disebut juga sebagai Nazir atau Pengerusi; Timbalan Ketua; Setiausaha; Ahli-Ahli yang lain yang akan bertanggungjawab mengikut bidang tertentu seperti diputuskan oleh pihak pengurusan seperti Kewangan, Pendidikan, Dakwah, Selenggara dan lain-lain lagi yang difikirkan sesuai.

Dengan adanya jawatankuasa atau lembaga itu, maka cara mengurus pun mesti mengikut cara berlembaga, cara berjawatankuasa. Elak mengurus mengikut hati.

Apa juga perancangan, pelaksanaan atau keputusan mengenai sesuatu cadangan hendaklah diputuskan oleh jawatankuasa. Berbincang dan bermesyuarat dulu sebelum membuat sesuatu keputusan.
Ahli-ahli yang kurang setuju dengan keputusan jawatankuasa, kenalah akur dengan keputusan yang di buat dengan hati terbuka dan ikhlas.

Sekiranya ada yang tidak setuju dan tidak mahu bertolak ansur, maka berhati-hati dan bersabar untuk mengelak gejala tidak sihat yang boleh menghantui perjalanan sesebuah masjid.

b. AJK Masjid

AJK menjadi tulang belakang sesebuah organisasi dan berperanan penting dalam menentukan kuat lemahnya sesebuah organisasi itu.

Masjid adalah organisasi istimewa, maka selain dari mempunyai semangat dan komitmen untuk berkhidmat, AJK itu mesti bekerja kuat dengan harapan apa juga kegiatan yang di lakukan, mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Syarat utama menjadi AJK, seseorang itu mestilah mempunyai minat dan niat suci untuk menyumbang kepada pembangunan ummah.
Mereka perlu mempunyai akhlak baik dan sanggup berkerja tanpa banyak berkira, dan semuanya dibuat dengan hati yang terbuka.

Dengan akhlak sedemikian akan menjadikan suasana pengurusan sentiasa dalam keadaan telus, mesra dan menyeronokkan. Kesemua itu akan mempengaruhi persekitaran dan diri seseorang, mempertingkatkan nilai hidup masyarakat dan boleh meletakkan para sukarelawan masjid itu, di tahap yang dihormati dan dikagumi.

c. Pemilihan AJK

Tanggungjawab mereka yang ingin berkhidmat di masjid sangat besar, berat tetapi mulia.

Mereka yang ingin berkhidmat atau dipilih untuk berkhidmat, mesti mempunyai ketinggian pemikiran, berwawasan dan berakhlak. 
Ini kerana pada peringkat awal, mereka bukan sahaja berperanan menjadi contoh kepada rakan sekerja, jemaah masjid,  tetapi juga kepada ahli-ahli kariah; dengan contoh-contoh baik akan dapat menarik masyarakat umumnya ke masjid, akan membuatkan orang ramai  menghormati orang-orang masjid, akan memuliakan institusi masjid.

Dari situ, peranan masjid boleh dipertingkatkan dan diperkembangkan lagi.
Salah satu punca kelembapan perjalanan masjid hari ini adalah kerana ada di antara AJK yang tidak memenuhi ciri-ciri yang diperlukan.

Mereka berada dalam AJK kerana diperturunkan oleh datuk neneknya secara tradisi; ada yang dilantik oleh Pengerusi atau Nazir, ada juga kerana sebab-sebab peribadi ingin terlibat dengan masjid, apatah lagi setelah diendorsekan oleh pihak-pihak tertentu. Senario begini mesti di ubah.

Pengurusan masjid, dari peringkat Pengerusi hinggalah kepada AJK yang lain, mesti dipilih dan direstui oleh ahli-ahli kariah.

Sesebuah organisasi peribadatan, dalam kes seperti masjid khususnya, perlu mempunyai “roh”, satu keperluan penting yang akan menentukan tahap pancaran cahaya  - nur -  dari masjid itu.

Keperluan ini membezakan entiti masjid dengan entiti organisasi bukan masjid. Justeru, kelayakan orang-orang yang ingin berkhidmat dengan masjid atau untuk menjadi AJK masjid juga perlu berbeza.

Dalam pemilihan AJK masjid contohnya, boleh lakukan sedikit kelainan dari apa yang diamalkan oleh badan-badan atau organisasi bukan masjid seperti PIBG, persatuan penduduk atau NGO yang lain.

Seseorang yang ingin berkhidmat dengan masjid mesti mempunyai kaitan kuat untuk berkhidmat dengan rasa dan keikhlasan hati kepada Allah SWT semata-mata.

Oleh itu, untuk mengisi jawatan dalam AJK masjid, sebaik-baiknya dibuat dengan memberi peluang kepada ahli-ahli kariah menawarkan diri untuk berkhidmat.

Untuk memegang jawatan dalam barisan jawatankuasa, kalau bilangan orang yang menawarkan diri melebihi bilangan jawatan yang diperlukan, maka perlu ada yang mengalah atau tarik diri; atau berunding; atau akhirnya barulah ke tahap mengundi.

Harus diingat, mereka yang tidak termasuk dalam barisan AJK, mereka tetap bersama memikul tugas dan tanggungjawab memakmurkan masjid itu.

Amalan yang dibuat sekarang memang menjejaskan perjalanan jawatankuasa masjid kerana dengan satu undi lebih, seseorang itu berjaya dalam jawatan sedangkan yang kalah mungkin lebih berminat dan berkemampuan untuk bersama AJK.

Islam menggalakkan orang yang ada kemampuan, kebolehan dan kesanggupan, menawarkan diri untuk jadi pemimpin.

Cadangan untuk mengisi jawatan yang diperlukan dalam jawatankuasa boleh diwar-warkan kepada ahli kariah agar mereka boleh menawarkan diri untuk berkhidmat.

Mereka yang berminat boleh menyatakan hasrat dan minatnya itu untuk membolehkan tindakan selanjutnya melantik dan mengesahkan barisan AJK itu diambil.
       
d.Tugas dan tanggungjawab AJK

Pada umumnya, tugas dan tanggungjwab AJK adalah untuk merancang, mengatur dan melaksana aktiviti mengimarahkan masjid, menjana pembangunan insan bertaqwa, seterusnya kepada aktiviti islah dan dakwah.

Setiap AJK dianggap sebagai pengurus dan bertanggungjawab ke atas tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka dengan melaksanakannya dengan baik dan sempurna.

Sebagai pengurus, AJK itu perlu jelas dengan tugas dan tanggungjawabnya dan mampu menggabungkan segala sumber yang ada, supaya apa yang dirancang, dapat dilaksanakan dengan berkesan.


Tuan/Puan yang dihormati,

BERJEMAAH DALAM SEMUA ASPEK

BERKHIDMAT untuk masjid bukan setakat menjalankan tugas atau aktiviti yang nampak sahaja, tapi terpenting disertai dengan rohnya sekali dan berniat ikhlas kerana Allah SWT.

Peranan AJK sangat luas dan berkait rapat dengan aktiviti-aktiviti pengimarahan masjid yakni aktiviti-aktiviti yang boleh menjurus kepada pembentukan insan berakhlak, beriman, bersemangat jihad dan bertanggungjawab.

Peranan yang secara langsung akan meletakkan masjid sebagai institusi mulia, sesuai dengan namanya sebagai “Rumah Allah”.

Semua tugasan tidak sepatutnya dilaksanakan secara bersendirian; tapi mesti dilakukan secara berjemaah, secara kerjasama dengan semangat persaudaraan.

Hubungan rapat di kalangan AJK dan hubungan mesra dengan ahli kariah mesti wujud dan dipelihara. Dengan itu, kerjasama mudah diperolehi.

Melalui persefahaman yang terjalin, segala aktiviti mudah di laksanakan dan kesannya, insyallah sangat hebat.

Keberkesanan menjadi  pengukur kejayaan atau kegagalan sesuatu aktiviti.
Kalau ramai yang hadir tetapi kehadiran mereka kerana diarah, diperintah, disuruh atau kehadiran tanpa arah dan tujuan; maka jelaslah program atau aktiviti itu dikira membazir, buang masa, buang wang, buang tenaga.

Yang penting, melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan, bilangan mereka yang mengamalkan cara hidup Islam, bilangan orang-orang soleh dan berakhlak, akan bertambah dari masa ke semasa.

MENGHANGATKAN PROSES PENGIMARAHAN MASJID 3

PENGURUSAN MASJID

BANGUNAN masjid yang besar, cantik tersergam; ditambah pula dengan kutipan wang yang banyak; masyarakat setempat yang pelbagai ragam dan latar belakang, pelbagai fahaman dan tahap ilmu berbeza; ahli jawatankuasa (AJK) dan kakitangan masjid yang pelbagai kebolehan; kalau tidak diintegrasikan kesemuanya itu, pengurusan masjid boleh menjadi kucar kacir.

Sebagai rumah Allah SWT, apa yang kita lakukan untuk masjid, mesti dengan jasad dan roh sekali. Jika tidak, masjid tidak dapat memainkan peranannya dengan berkesan.

Sebagai tempat suci, tempat mengeluar manusia soleh, tempat menjana faedah dan manfaat kepada masyarakat; akan menjadi tempat membawa rebah. Dan inilah kenyataan di banyak masjid dan surau hari ini.

Sesebuah masjid, kalau tidak diurus dan ditadbir dengan betul akan menghadapi zaman kelam, peranannya menjadi lemah dan fungsinya tenggelam.

Bagi mereka yang di beri tanggungjawab untuk mengurus sesebuah masjid, hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kerana Allah SWT.

MEMAHAMI PERANAN MASJID.

TANPA kefahaman yang jelas tentang peranan masjid, bagaimana tugas dan tanggungjawab untuk menghidupkan dan membangunkan masjid itu dapat di lakukan?

Kalau di atas sudah kabur, orang-orang di bawah, AJK atau pihak-pihak lain yang terlibat dengan masjid akan meraba-raba dalam tugas dan peranan mereka.

Kalau ada rancangan atau program, akan di laksanakan tanpa tujuan yang jelas, akan di laksanakan untuk program pada hari itu sahaja, akan dibuat dengan seadanya sahaja.

Janganlah ghairah dalam merangka pelbagai program untuk memenuhi kalendar aktiviti tahunan masjid; tanpa mengambil kira kehendak ahli kariah.
Kerana itu apabila di laksanakan, program itu tidak mendapat sambutan dan kalau ada pun, kesannya tidak panjang.

Kehendak dan citarasa ahli kariah mesti di dahulukan. Buat kaji selidik untuk mendapat bayangan tentang keperluan mereka, apa yang sesuai dan apa yang boleh membantu mereka. Yang penting, program terlaksana dan kesannya terbukti.

Pihak pengurusan masjid harus mengambil kira keberkesanan dan nilai tambahnya. Mereka perlu ada tujuan dan objektifnya!

Buatlah perancangan rapi, gunakan kaedah dan pendekatan terkini agar sesuatu program itu mendapat sambutan dan mencapai matlamatnya, kaedah yang boleh memikat hati pengunjung sambil berdakwah.       


Para AJK perlu ikhlas dan sabar setiap ketika. Ini kerana segala perlakuan AJK di perhati dan di nilai; bukan sahaja oleh jemaah masjid atau ahli kariah tetapi juga oleh Allah SWT.


MENGHANGATKAN PROSES PENGIMARAHAN MASJID 2

KITA SEMUA ADALAH PENDAKWAH

TIDAK kira siapa kita dan apa yang kita buat, asalkan ianya perkara baik; jikalau niat atau nawaitu kita semasa melakukan perkara itu adalah semata-mata kerana Allah SWT, maka itu sudah dikira ibadat.

Sama juga ertinya jika kita mengajak seseorang itu supaya bersolat misalnya, mendorong mereka kepada kebajikan dan kebaikan serta mencegah dari kejahatan; maka itu dikira dakwah. Bukankah berdakwah itu juga ibadat?

Berdakwah adalah tugas seseorang mengajak secara ikhlas, seseorang yang lain kepada melaksanakan suruhan Allah SWT.

Samaada kita berdakwah sepenuh masa atau sekadar memberitahu kepada perkara baik, ingat mengingati di antara satu sama lain, itu sudah dikira berdakwah.

Untuk berdakwah tidak perlu ada kumpulan sasar kerana usaha mulia ini merangkumi semua manusia yang sememangnya mempunyai sifat-sifat mazmumah.

Pendakwah tidak punya musuh kerana dia tidak memaksa sesiapapun untuk menerima mukadimahnya atau melakukan apa-apa yang disuruh. 

Berdakwah dengan menunjukkan contoh adalah kaedah terbaik sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW. Tidak ada paksaan dalam Islam.

Pendakwah berpegang teguh pada sunnah Nabi SAW dan sentiasa memberi peringatan kepada sesiapa yang sudi mendengar, agar kembali kepada asas ajaran Islam yang sebenar terutama dalam menunaikan amal ibadat dan teguh dalam amalan mendirikan solat lima waktu sehari semalam.

Melalui ceramah atau majlis-majlis ilmu,  nasihat atau contoh baik secara individu atau berkumpulan yang berkesan seseorang pendakwah itu boleh menimbulkan kesedaran dan keinsafan di hati golongan ini apa lagi mereka ini sebahagian besar adalah golongan Islam pada namanya sahaja.

Maka itu, adalah digalakkan setiap daripada kita serta rakan-rakan kita agar memulakan langkah pertama: bermula dengan diri sendiri, mengajak ahli terdekat dalam keluarga, kaum kerabat, sahabat handai dan jiran tetangga, agar berkunjung ke masjid untuk bersolat jemaah; kerana ini adalah satu permulaan dakwah yang sangat-sangat disukai oleh Allah SWT.

PENCERAMAH MESTI BERILMU

BILA dianjurkan ceramah atau forum agama, adalah penting untuk penceramah atau pendakwah melengkapi diri dengan ilmu yang relevan dengan tajuk ceramah itu.

Penceramah harus peka dengan sumber ilmu yang pelbagai, selain dari ilmu al-Quran misalnya dari internet, media massa, peka dengan isu-isu semasa; yang kesemuanya dapat membantu pendengar memahami sesuatu itu dengan lebih jelas; yang boleh membantu mereka menjadi manusia berilmu, maju dan produktif.

Hari ini, terdapat banyak isu-isu berbangkit yang tidak ditangani dengan bijak.

Sebabnya, mungkin kerana kekurangan ilmu, mungkin kaedah atau penjelasan yang kurang berkesan atau mungkin juga kerana tidak mahu menggugat kedudukannya.

Isu-isu keruntuhan akhlak, aqidah dan dakwah, hal-hal nikah cerai misalnya, jika ditangani dengan bijak oleh semua pihak yang berkaitan, maka itu semua ada jalan keluarnya.

Ada ketikanya, isu-isu itu diam. Mungkin kerana mereka yang sengaja ingin berpolemik itu sudah letih, diamnya bukan kerana isu-isu itu sudah selesai.

Maka itu, adalah perlu ada penceramah atau pendakwah yang berkebolehan menjelaskan atau menangkis persoalan-persolan yang berbangkit supaya dengan itu, usaha pemantapan keimanan, kearah kesejahteraan hidup yang diberkati dapat berjalan lebih rancak tanpa terganggu-gugat oleh isu-isu yang remeh, khilafiah.

CERAMAH YANG BERKESAN

PENCERAMAH hendaklah memastikan ilmu yang disampaikan memberi kesan kepada pendengarnya.

Kerana itu, sesiapa sahaja yang berperanan menyampaikan ilmu, yang terlibat dengan tugas dan tanggungjawab itu termasuklah para pendakwah, mesti ada ciri-ciri tertentu di antaranya:

1. Ketokohan dan kematangan

Sesiapa yang ingin berceramah, perlu matang dan mampu menganalisa senario semasa, kreatif, bersikap terbuka dan boleh menyesuaikan aktiviti dengan kumpulan mengikut keadaan dan tempat.

2. Kepetahan bercakap di khalayak ramai

Berkebolehan dalam menyampaikan ceramah dengan cara yang menarik, boleh menjadi daya tarik kepada masyarakat untuk mendengar ceramahnya.  
Mereka yang mendengar dengan khusyuk pasti mendapat sesuatu yang berguna hasil dari ceramah itu, yang boleh menambah ilmunya.

Kebolehan bercakap di khalayak merupakan aset yang tidak ternilai untuk menarik dan memikat orang ramai ke majlis agama atau majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid.

3. Berilmu

Penceramah yang berilmu dan berkebolehan adalah antara faktor penting yang boleh membantu seseorang menambah ilmu dan pembentukan insan soleh.

Berilmu bererti mengetahui apa yang diceramahkan, fasih dengan al-Quran, luas pengtahuan dan mampu menyampaikan ilmunya kepada jemaah dengan jelas; membuat perbandingan dengan hujjah dan contoh-contoh yang boleh menunjukkan agama Islam adalah agama yang sebenarnya, boleh meyakinkan pendengar bahawa Islam adalah agama terbaik.

Jika ada persoalan, ulasan dan jawapannya boleh memuaskan hati pendengar.

4. Berani dan bijak membentang berhujah

Ini merupakan cabaran kepada penceramah. Mereka yang tidak berani menyatakan sesuatu dengan jelas, maka pendengar tidak dapat apa-apa yang bernas.

Kalau sekadar menyentuh satu-satu isu cuma dipermukaan sahaja, maka apa yang boleh digalas oleh pendengar? Pendengar mengharap sesuatu yang terus terang, jelas; kenyataan yang disokong dengan statistik, gambar-gambar, menjadi tarikan utama pendengar.

Gambar-gambar boleh memberi seribu perkataan, kesemuanya menjadikan keyakinan dan minat mereka kepada ceramah itu bertambah.

5. Mempunyai akhlak mulia

Berakhlak dalam hubungan dengan jemaah, tahu menjaga waktu, berterampilan, beradab dan dihormati masyarakat.

Pendekatannya harus seperti orang yang berilmu. Bertutur kata dengan lembut, perihatin bila diajukan persoalan-persoalan yang rumit dan menonjolkan tahap kesabaran yang tinggi ketika menyentuh perkara-perkara sensitif.

Cara penyampaian juga mesti secara teratur, bersopan dan harus menghargai penyertaan dari pendengar, memberi pandangan yang bernas dan membuka minda.

AJARAN SESAT, SATU PENGAJARAN

KISAH ajaran sesat, secara sedar atau tidak, muncul di sana sini tak kira di masjid, di surau, di rumah atau di tempat-tempat tertentu. Ia berlaku di mana-mana saja.
Orang ramai begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sedemikan berpunca dari pendekatan yang digunakan oleh penceramah itu, kerana gaya bercakap dan suasana majlis.
Sambutan yang diberikan, sungguh memberangsangkan. Kenapa?

Penceramah menggunakan kaedah ‘daya tarik’ yang berkesan. Mereka melihat dan mengkaji kumpulan sasaran; melihat kelemahan, sediakan umpan. Apa kelemahan atau masalahnya, aqidah, ekonomi, sosial atau rumahtangga.

Pengikut yang pergi ke situ bukannya tidak ada asas agama, atau tidak berpendidikan tapi mereka ke situ kerana dahagakan sesuatu untuk menyelesaikan perkara buntu.

Daya tarik yang biasa digunakan adalah satu “pembongkaran rahsia” yang menarik tetapi tidak semestinya benar; yang ramai orang tidak dapat memastikan kesahihannya tetapi percaya juga akan kebenarannya.

Dengan daya tarik sedemikian, mereka ke situ tanpa menyedari ajaran yang mereka ikuti itu tidak betul; gara-gara keinginan segelintir masyarakat yang suka percaya pada perkara-perkara pelik dan tahyul.

Namun begitu, di kalangan ahli masjid tidak digalakkan memutar-belit fakta tetapi boleh cuba merungkaikan sesuatu persoalan atau rahsia sesuatu kejadian dari perspektif Islam untuk dicontohi atau direnungi oleh para jemaah yang hadir.

Penceramah, imam atau khatib dari masjid, perlu belajar taktik seperti ini untuk menarik orang ramai menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan.