KITA SEMUA ADALAH PENDAKWAH
TIDAK kira siapa kita dan apa yang kita buat, asalkan ianya perkara baik; jikalau niat atau nawaitu kita semasa melakukan perkara itu adalah semata-mata kerana Allah SWT, maka itu sudah dikira ibadat.
Sama juga ertinya jika kita mengajak seseorang itu supaya bersolat misalnya, mendorong mereka kepada kebajikan dan kebaikan serta mencegah dari kejahatan; maka itu dikira dakwah. Bukankah berdakwah itu juga ibadat?
Berdakwah adalah tugas seseorang mengajak secara ikhlas, seseorang yang lain kepada melaksanakan suruhan Allah SWT.
Samaada kita berdakwah sepenuh masa atau sekadar memberitahu kepada perkara baik, ingat mengingati di antara satu sama lain, itu sudah dikira berdakwah.
Untuk berdakwah tidak perlu ada kumpulan sasar kerana usaha mulia ini merangkumi semua manusia yang sememangnya mempunyai sifat-sifat mazmumah.
Pendakwah tidak punya musuh kerana dia tidak memaksa sesiapapun untuk menerima mukadimahnya atau melakukan apa-apa yang disuruh.
Berdakwah dengan menunjukkan contoh adalah kaedah terbaik sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW. Tidak ada paksaan dalam Islam.
Pendakwah berpegang teguh pada sunnah Nabi SAW dan sentiasa memberi peringatan kepada sesiapa yang sudi mendengar, agar kembali kepada asas ajaran Islam yang sebenar terutama dalam menunaikan amal ibadat dan teguh dalam amalan mendirikan solat lima waktu sehari semalam.
Melalui ceramah atau majlis-majlis ilmu, nasihat atau contoh baik secara individu atau berkumpulan yang berkesan seseorang pendakwah itu boleh menimbulkan kesedaran dan keinsafan di hati golongan ini apa lagi mereka ini sebahagian besar adalah golongan Islam pada namanya sahaja.
Maka itu, adalah digalakkan setiap daripada kita serta rakan-rakan kita agar memulakan langkah pertama: bermula dengan diri sendiri, mengajak ahli terdekat dalam keluarga, kaum kerabat, sahabat handai dan jiran tetangga, agar berkunjung ke masjid untuk bersolat jemaah; kerana ini adalah satu permulaan dakwah yang sangat-sangat disukai oleh Allah SWT.
PENCERAMAH MESTI BERILMU
BILA dianjurkan ceramah atau forum agama, adalah penting untuk penceramah atau pendakwah melengkapi diri dengan ilmu yang relevan dengan tajuk ceramah itu.
Penceramah harus peka dengan sumber ilmu yang pelbagai, selain dari ilmu al-Quran misalnya dari internet, media massa, peka dengan isu-isu semasa; yang kesemuanya dapat membantu pendengar memahami sesuatu itu dengan lebih jelas; yang boleh membantu mereka menjadi manusia berilmu, maju dan produktif.
Hari ini, terdapat banyak isu-isu berbangkit yang tidak ditangani dengan bijak.
Sebabnya, mungkin kerana kekurangan ilmu, mungkin kaedah atau penjelasan yang kurang berkesan atau mungkin juga kerana tidak mahu menggugat kedudukannya.
Isu-isu keruntuhan akhlak, aqidah dan dakwah, hal-hal nikah cerai misalnya, jika ditangani dengan bijak oleh semua pihak yang berkaitan, maka itu semua ada jalan keluarnya.
Ada ketikanya, isu-isu itu diam. Mungkin kerana mereka yang sengaja ingin berpolemik itu sudah letih, diamnya bukan kerana isu-isu itu sudah selesai.
Maka itu, adalah perlu ada penceramah atau pendakwah yang berkebolehan menjelaskan atau menangkis persoalan-persolan yang berbangkit supaya dengan itu, usaha pemantapan keimanan, kearah kesejahteraan hidup yang diberkati dapat berjalan lebih rancak tanpa terganggu-gugat oleh isu-isu yang remeh, khilafiah.
CERAMAH YANG BERKESAN
PENCERAMAH hendaklah memastikan ilmu yang disampaikan memberi kesan kepada pendengarnya.
Kerana itu, sesiapa sahaja yang berperanan menyampaikan ilmu, yang terlibat dengan tugas dan tanggungjawab itu termasuklah para pendakwah, mesti ada ciri-ciri tertentu di antaranya:
1. Ketokohan dan kematangan
Sesiapa yang ingin berceramah, perlu matang dan mampu menganalisa senario semasa, kreatif, bersikap terbuka dan boleh menyesuaikan aktiviti dengan kumpulan mengikut keadaan dan tempat.
2. Kepetahan bercakap di khalayak ramai
Berkebolehan dalam menyampaikan ceramah dengan cara yang menarik, boleh menjadi daya tarik kepada masyarakat untuk mendengar ceramahnya.
Mereka yang mendengar dengan khusyuk pasti mendapat sesuatu yang berguna hasil dari ceramah itu, yang boleh menambah ilmunya.
Kebolehan bercakap di khalayak merupakan aset yang tidak ternilai untuk menarik dan memikat orang ramai ke majlis agama atau majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid.
3. Berilmu
Penceramah yang berilmu dan berkebolehan adalah antara faktor penting yang boleh membantu seseorang menambah ilmu dan pembentukan insan soleh.
Berilmu bererti mengetahui apa yang diceramahkan, fasih dengan al-Quran, luas pengtahuan dan mampu menyampaikan ilmunya kepada jemaah dengan jelas; membuat perbandingan dengan hujjah dan contoh-contoh yang boleh menunjukkan agama Islam adalah agama yang sebenarnya, boleh meyakinkan pendengar bahawa Islam adalah agama terbaik.
Jika ada persoalan, ulasan dan jawapannya boleh memuaskan hati pendengar.
4. Berani dan bijak membentang berhujah
Ini merupakan cabaran kepada penceramah. Mereka yang tidak berani menyatakan sesuatu dengan jelas, maka pendengar tidak dapat apa-apa yang bernas.
Kalau sekadar menyentuh satu-satu isu cuma dipermukaan sahaja, maka apa yang boleh digalas oleh pendengar? Pendengar mengharap sesuatu yang terus terang, jelas; kenyataan yang disokong dengan statistik, gambar-gambar, menjadi tarikan utama pendengar.
Gambar-gambar boleh memberi seribu perkataan, kesemuanya menjadikan keyakinan dan minat mereka kepada ceramah itu bertambah.
5. Mempunyai akhlak mulia
Berakhlak dalam hubungan dengan jemaah, tahu menjaga waktu, berterampilan, beradab dan dihormati masyarakat.
Pendekatannya harus seperti orang yang berilmu. Bertutur kata dengan lembut, perihatin bila diajukan persoalan-persoalan yang rumit dan menonjolkan tahap kesabaran yang tinggi ketika menyentuh perkara-perkara sensitif.
Cara penyampaian juga mesti secara teratur, bersopan dan harus menghargai penyertaan dari pendengar, memberi pandangan yang bernas dan membuka minda.
AJARAN SESAT, SATU PENGAJARAN
KISAH ajaran sesat, secara sedar atau tidak, muncul di sana sini tak kira di masjid, di surau, di rumah atau di tempat-tempat tertentu. Ia berlaku di mana-mana saja.
Orang ramai begitu mudah terpengaruh dengan ajaran sedemikan berpunca dari pendekatan yang digunakan oleh penceramah itu, kerana gaya bercakap dan suasana majlis.
Sambutan yang diberikan, sungguh memberangsangkan. Kenapa?
Penceramah menggunakan kaedah ‘daya tarik’ yang berkesan. Mereka melihat dan mengkaji kumpulan sasaran; melihat kelemahan, sediakan umpan. Apa kelemahan atau masalahnya, aqidah, ekonomi, sosial atau rumahtangga.
Pengikut yang pergi ke situ bukannya tidak ada asas agama, atau tidak berpendidikan tapi mereka ke situ kerana dahagakan sesuatu untuk menyelesaikan perkara buntu.
Daya tarik yang biasa digunakan adalah satu “pembongkaran rahsia” yang menarik tetapi tidak semestinya benar; yang ramai orang tidak dapat memastikan kesahihannya tetapi percaya juga akan kebenarannya.
Dengan daya tarik sedemikian, mereka ke situ tanpa menyedari ajaran yang mereka ikuti itu tidak betul; gara-gara keinginan segelintir masyarakat yang suka percaya pada perkara-perkara pelik dan tahyul.
Namun begitu, di kalangan ahli masjid tidak digalakkan memutar-belit fakta tetapi boleh cuba merungkaikan sesuatu persoalan atau rahsia sesuatu kejadian dari perspektif Islam untuk dicontohi atau direnungi oleh para jemaah yang hadir.
Penceramah, imam atau khatib dari masjid, perlu belajar taktik seperti ini untuk menarik orang ramai menghadiri majlis ilmu yang dianjurkan.
No comments:
Post a Comment