Tuesday, 25 October 2011

MENGHANGATKAN PROSES PENGIMARAHAN MASJID 6

Tuan/Puan yang diberkati,

PELABURAN TETAP

MENGURUS harta masjid dan membuat pelaburan yang bijak menggunakan harta wakaf, adalah kaedah paling baik dan berkesan.

Sumbangan amal jariah oleh orang-orang Islam kepada masjid membolehkan masjid menjana pendapatannya sendiri untuk membiayai aktiviti-aktivitinya.

Yang penting, pengurusan harta-hartanya harus dilakukan secara profesional dan menepati syariat.

Pihak masjid boleh mengadakan program-program khusus, aktiviti-aktiviti sosio ekonomi serta terlibat dalam projek-projek pertanian, perindustrian, pemasaran dan pendidikan; untuk mengisi tabung masjid.

Pendapatan yang tidak menentu boleh menjejaskan pelaksanaan aktiviti-aktiviti masjid.
Oleh itu, masjid adalah disaran mencari jalan membuat pelaburan jangka panjang untuk menjamin pendapatan tetap untuk tabungnya.

KEMAJUAN SEBUAH MASJID

SATU perkara yang perlu disedari, pengumpulan dana masjid adalah untuk digunakan ke atas perkara yang boleh memajukan sesebuah masjid itu.

Antaranya meningkatkan peranan masjid, menghebatkan penjanaan insan soleh, memperkasakan kerja dakwah dan islah serta melipatgandakan aktiviti bagi mengukuhkan ukhwah.

Dana yang di perolehi tidak harus di tinggalkan beku begitu, tetapi hendaklah digunakan secara produktif dan bijaksana.
Gunakan dana, gerakkan aktiviti bagi tujuan yang di nyatakan. Beku dana maka bekulah aktiviti.

Muslimin/Muslimat yang dihormati,

KHIDMAT KEMASYARAKATAN DI MASJID

MINAT masyarakat untuk berkunjung ke masjid boleh disemai melalui penyediaan perkhidmatan yang memberi manfaat pada mereka.

Bagaimana jika di masjid, disediakan dengan khidmat kesihatan, pemeriksaan kesihatan atau sesi klinikal yang mudah atau ringan?

Masyarakat sekarang ini, sangat prihatin kepada kesihatan diri apalagi golongan berumur atau yang ada sedikit sebanyak penyakit.
Mereka boleh ke masjid untuk menjalani pemeriksaan rutin bagi mengenalpasti tahap dan keadaan sebenar kesihatan mereka.

Sebagai contoh, pemeriksaan kesihatan secara rutin kepada masyarakat,  khidmat pergigian, kesihatan mata, saraf sangat relevan dalam kehidupan hari ini.

Khidmat sebegini sudah tentu menjadi “daya tarik” pada orang ramai untuk ke masjid, termasuk mereka yang bukan Islam.

Menyediakan kemudahan untuk membantu pesakit masakini merupakan satu cabang perkhidmatan yang sangat ditunggu-tunggu oleh mereka yang berkaitan di mana-mana kariah di negara ini.

Mesin-mesin haemodialisis untuk pesakit buah pinggang misalnya, alat-alat dan kemudahan untuk aktiviti menjaga kesihatan badan secara rutin, seperti senaman atau exercise; senamrobik atau indoor game boleh diusahakan oleh pihak masjid.

Begitu juga dengan pusat khidmat membayar bil, pusat pengaduan atau kaunseling dengan menggunakan wakil yang bertugas di situ.

Pusat khidmat sebegini membantu pengunjung dalam banyak hal; jimat wang, jimat masa. Yang penting, itu semua merupakan khidmat kebajikan untuk membantu ummah setempat.

Sekarang, semuanya secara on-line. Kalau berbayar pun, tidak jadi masalah asalkan berpatutan dan inilah perkara yang hendak ditonjolkan oleh Islam.

Khidmat jual beli boleh juga dilakukan di masjid. Berjual beli disini bukan seperti di pasar minggu atau pasar malam tetapi lebih kepada perniagaan dan urusan secara maya, on-line atau e-bisnes.


No comments:

Post a Comment